Home » Komuniti, Utama » Jabatan Kecemasan dan Trauma HSNZ mula beroperasi

Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini yang dinaikkan taraf dengan penyediaan ruang lebih besar dan dilengkapi peralatan moden serta terkini mula beroperasi hari ini.

Projek yang keseluruhannya menelan kos RM19.93 juta itu merupakan sebahagian daripada usaha memberi perkhidmatan yang lebih berkesan dan selesa kepada lebih ramai pesakit.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM5 juta dibelanjakan untuk peralatan yang sebahagian besarnya dibeli dari Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun.

Menurut beliau, bangunan itu dibahagikan kepada empat zon utama yang membabitkan dengan zon kritikal yang menempatkan enam katil serta dilengkapi peralatan terkini dan zon semi kritikal serta wad pemerhatian masing-masing menempatkan lapan katil.

”Selain itu turut disediakan ialah ruangan yang lebih selesa untuk pesakit asma yang dapat merawat lapan pesakit dalam satu-satu masa,” katanya demikian ketika melawat bangunan dan pesakit yang dirawat di bangunan baru jabatan berkenaan, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar dan Ketua Pakar Kecemasan, Dr. Mohd. Lofti Hamzah.

Dr. Anwa berkata, pada masa ini, jabatan itu menerima kira-kira 200 pesakit termasuk 20 kes kritikal dan semi kritikal sehari, malah tidak menjadi masalah jika menerima kes lebih banyak pada masa ini.

”Selaras dengan usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit, kami menyasarkan tempoh lima minit untuk memberi rawatan ketika sampai di wad kecemasan dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau menambah, selain menempatkan wad kecemasan bangunan baharu, juga turut menempatkan pusat panggilan kecemasan, bilik latihan dan bilik seminar di tingkat satu.

Selain itu, kemudahan Makmal Kemahiran untuk melatih anggota dan pegawai teknikal terutama dalam mengendalikan kes-kes kecemasan turut ditempatkan di situ.

”Makmal ini merupakan yang pertama diwujudkan di Pantai Timur,” katanya.

Menurutnya, dengan pembukaan secara rasmi Jabatan Kecemasan dan Trauma itu, laluan masuk kenderaan adalah pintu utama HSNZ yang dijadikan laluan sehala bagi memudahkan orang ramai dan kenderaan hospital menurunkan pesakit.

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.