Home » Utama » Pengurniaan darjah, bintang kebesaran Terengganu 30 September

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengetuai senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun ke-50 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (DK) kepada baginda akan disempurnakan Sultan Mizan di Istana Maziah di sini, pada 30 September ini.

Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Dr. Ali Hamsa pula akan menerima anugerah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Enam individu pula akan menerima anugerah Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) yang membawa gelaran Dato’.

Mereka ialah Pegawai Kewangan Terengganu, Dato’ Abd. Razak Ismail; Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Kassim; Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Gas dan Kuasa Petronas, Datuk Anuar Ahmad; Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Jebasingam Issace dan Prof. Emeritus Datuk Paduka, Dr. Nik Anuar Nik Mahmud.

Selain itu, 14 individu akan menerima darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SMZ) iaitu Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Rozi Mamat; Pegawai Daerah Besut, A. Rahim Jusoh; Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim; Pengurus Besar Kanan Petronas, Raiha Azni Datuk Abdul Rahman.

Turut dianugerahkan darjah tersebut ialah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Mahadi C. Ngah; Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Mohd. Adnan Abdullah.

Individu lain termasuk Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Kamaruddin Ibrahim; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, M. Harith Hassan; Timbalan Pengurus Besar Ketengah, Wan Abdul Rahman Wan Ahmad.

Pengarah Naza TTDI Sdn. Bhd., Mohamad Zahari Harun; Exco Kerajaan Terengganu, Asha’ari Idris; Pakar Perunding Kanan Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Ahmad Tajuddin Abdullah dan Pengerusi MIC Terengganu, R. Suppiah.

Penerima darjah Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) pula terdiri daripada Ketua Penolong Pentadbir Tanah Setiu, Rosdi Awang; Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, Mat Azmi Arshad; Ketua Penolong Setiausaha (Baitulmal) MAIDAM, Marzuki Endut; Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jahani Ismail.

Tiga individu pula akan menerima darjah kebesaran mahkota Terengganu Seri Paduka Mahkota Terengganu (SPMT) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Panglima Tentera Udara, Jen. Tan Sri Rodzali Daud; Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Seramai 10 individu lain menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang juga membawa gelaran Dato’.

Mereka terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Rozali Salleh dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat) TATiUC, Zulkifli Mohamad.

Turut dianugerahkan darjah itu ialah Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohd. Wan Ibrahim; Setiausaha Bahagian di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar; Pengarah Utama Wan Husin & Associates Sdn. Bhd., Wan Husin Wan Embong dan Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat, Brigadier Jeneral Dato’ Mohamed Bacha.

Individu lain ialah Timbalan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria; Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamshah Mustapa dan Pengerusi Eksekutif Ken Holding Bhd., Tan Boon Kang.

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.