Home » Komuniti » JKKK Hulu Terengganu jalani kursus ICT
Jailani mengagihkan cenderahati kepada orang ramai yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama JKKK Parlimen Hulu Terengganu di Ajil, kelmarin.

Jailani mengagihkan cenderahati kepada orang ramai yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama JKKK Parlimen Hulu Terengganu di Ajil, kelmarin.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Hulu Terengganu dipilih sebagai kumpulan perintis bagi program kursus kemahiran Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) yang bakal dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, dalam usaha memastikan kepimpinan JKKK dapat menguasai ilmu dan kemahiran ICT itu, pihaknya akan bekerjasama dengan pusat jalur lebar yang ada di setiap Parlimen dari aspek lokasi serta tenaga pengajar.

“ICT adalah satu inovasi dalam kehidupan dan tanpa kefahaman yang jelas, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan perkembangannya sekali gus memperlahankan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat bermaklumat di Malaysia.

“Bagi memastikan barisan JKKK juga mampu kuasai ICT, kita laksanakan kursus kemahiran mereka dan sebagai perintis, ia akan melibatkan JKKK Parlimen Hulu Terengganu terlebih dahulu iaitu seramai 148 JKKK.

Menurut beliau, program itu kini dalam perancangan dan akan digerakkan dalam masa terdekat.

“Kita juga akan kenal pasti barisan JKKK untuk sertai kursus ini yang akan menggunakan kemudahan di lima pusat jalur lebar sedia ada.

“Kursus melibatkan kumpulan JKKK ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepimpinan di peringkat kampung mampu kuasai ICT dengan baik yang akhirnya mampu menambah lagi kemajuan serta pembangunan sesebuah kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu Majlis Berbuka Puasa Bersama JKKK Parlimen Hulu Terengganu, di sini, kelmarin melibatkan seramai 148 JKKK yang sekali gus merupakan perjumpaan pertamanya dalam skala besar bersama JKKK selepas bergelar Yang Berhormat.

Kata Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, beliau menerusi Pejabat Parlimen Hulu Terengganu juga sedang mengenal pasti aktiviti bersesuaian yang boleh dilakukan JKKK.

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.